Latar belakang Nik Elin Zurina & Tengku Yasmin Nastasha lwn. Kerajaan Kelantan

Konflik perundangan dan kehakiman antara sistem syariah Islam dengan undang-undang sivil sekular di Malaysia ialah satu isu yang berlanjutan. Sejak pemindaan Perkara 121(1A) Perlembagaan pada 1988 yang menetapkan pemisahan antara kedua-dua sistem kehakiman, beberapa kes telah difailkan yang cuba mencabar dan merungkai pembahagian bidang kuasa antara kedua-dua sistem.[1] Pada 2021, satu kes serupa terdahulu, Iki Putra Mubarrak lwn. Kerajaan Negeri Selangor, berkesudahan dengan terbatalnya klausa enakmen jenayah syariah Selangor berkenaan liwat kerana disifatkan sebagai "undang-undang jenayah" yang tidak tertakluk di bawah bidang kuasa negeri dan syariah.[2][3]

Kes ini melibatkan dua orang pempetisyen, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, dan anaknya, Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman, yang berhasrat untuk mencabar sebilangan peruntukan dalam enakmen jenayah syariah negeri Kelantan, Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, atas hujah bahawa ia juga dilitupi oleh undang-undang sivil, dan pihak dewan undangan negeri (DUN) hanya berhak menggubal enakmen dalam "hal-ehwal sulit" berkenaan agama Islam.[4] Berdasarkan kenyataan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), ia disifatkan sebagai pencabaran terhadap kuasa DUN untuk menggubal undang-undang syariah berdasarkan Senarai Negeri, Jadual Kesembilan dalam perlembagaan persekutuan.[5]

Petisyen pencabaran difailkan pada 25 Mei 2022,[6] dan pencabaran mula didengar oleh pihak Mahkamah Persekutuan pada 17 Ogos 2023.[4] Prosiding lanjutan pula dilaksanakan pada 20 November, diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.[7] Menurut Perdana Menteri Anwar Ibrahim, sebuah perbincangan Jawatankuasa Khas dijadualkan dibuat pada 4 Disember, dan boleh dijadikan platform perbincangan dengan Majlis Raja-Raja untuk mengusulkan penambahbaikan perundangan syariah.[8]

Rujukan

WikiPedia: Nik Elin Zurina & Tengku Yasmin Nastasha lwn. Kerajaan Kelantan https://www.sinardaily.my/article/205210/islamic/n... https://www.sinarharian.com.my/article/272413/beri... https://www.sinarharian.com.my/article/635357/beri... https://www.sinarharian.com.my/article/635535/beri... https://www.sinarharian.com.my/article/635686/beri... https://www.sinarharian.com.my/article/635433/beri... https://www.researchgate.net/profile/Izmi-Che-Jama... https://supreme.justia.com/cases/federal/us/402/62... https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/03... https://www.sinarharian.com.my/article/648869/beri...